Thursday 27 October 2011

Sejenak: Wujudkah Kebebasan Akademik?



Assalamualaikum wbt, 

Pagi ini LMP mahu mengajak para pembaca yang arif untuk berfikir sejenak mengenai isu yang hangat pada ketika ini. Wujudkah kebebasan akademik di negara kita? Mengapa LMP membawa isu ini pada pagi ini? Itulah yang LMP mahu mahasiswa/wi sekalian untuk berfikir bukan dengan minda yang diwarnai dengan warna-warna bendera politik luar, tetapi berfikir secara indieprestasi dan bebas tanpa sebarang kekangan yang mampu menggugat pertimbangan mahasiswa/wi sekalian.

Kebebasan akademik merujuk kepada situasi penulisan dan pengajaran di peringkat universiti. Hasil kajian mahasiswa dan pensyarah amat penting bagi menentukan kualiti sesebuah universiti. Malangya pelbagai sekatan bertulis dan tidak bertulis wujud sehingga menghalang minat untuk menulis kajian ilmiah atau menyampaikan idea. Di Malaysia, wujud istilah 'profesor kangkung' bagi menggambarkan pensyarah yang bercakap melalui TV dab media yang tidak mengikut fakta sebenar, mengampu pihak autokrat dan begitu hebat sekali menghentam pembangkang. Pihak universiti akan memantau pembabitan kakitangan dan pelajarnya di dalam dan luar universiti.

Isu terkini yang berkait rapat dengan kebebasan akademik adalah isu penggantungan Prof Dr. Aziz Bari dari UIA. Beliau yang juga pakar undang-undang perlembagaan khususnya berkaitan dengan kuasa dan fungsi raja berpelembagaan digantung tugas hanya dengan sebab memberi pandangan berkenaan titah Sultan Negeri Selangor terhadap kes serbuan JAIS keatas Damansara Utama Methodist Church (DUMC) kepada Malaysiakini atas kapasiti sebagai pakar undang-undang perlembagaan. Wajarkah beliau digantung tugas hanya kerana memberi pandangan? Beliau juga tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dalam kes ini. Sekali lagi, wajarkah? Beliau bukan sahaja digantung tugas, malah dikecam oleh beberapa pemimpin dan NGO yang pro UMNO disamping disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Malah, beberapa laporan polis telah dibuat oleh beberapa penyokong UMNO di seluruh Malaysia. Beginikah perjalanan akademik negara kita? Mengapa sebegitu kejam dilakukan kepada Prof Dr. Aziz Bari hanya kerana pendapat beliau yang bercanggah dengan kerajaan?

Mahasiswa/wi yang dihormati sekalian,
Mengapa UIA yang bertarafkan antarabangsa mengikut sahaja tekanan politik pihak-pihak berkepentingan sahaja sehingga merosakkan reputasi dan kredibiliti UIA? Soalan yang LMP mahu mahasiswa/wi fikirkan kembali, bebaskah akademik negara kita? Jelas sekali dengan penggantungan Prof Dr Aziz Bari ini telah membuktikan bahawa pihak rektor universiti dan kerajaan sama sekali telah mengabaikan jaminan kebebasan akademik terhadap ahli akademik/pensyarah yang terkandung di dalam suatu dokumen bertajuk “Recommendation Concerning the Status of Higher-Education Teachin Personnel” yang dikeluarkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Sudah terang lagi bersuluh, jawapan mungkin telah terjawab. Namun bagi mahasiswa/wi yang bercanggah pendapat dengan LMP, usah risau, anda tidak akan digantung seperti Prof Dr Aziz Bari yang digambarkan oleh SMM sebagai putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan. Pendapat anda tidak salah, dan anda boleh kemukakan pendapat anda secara terang kepada LMP.

Isu kebebasan akademik ini sekiranya dipandang enteng akan melahirkan generasi graduan yang hanya berbekalkan sijil, tetapi pemikiran yang jumud serta kurang proaktif akan perubahan semasa. Inikah yang kita mahukan pada masa hadapan? Sekiranya ada pihak berwajib yang membaca ini, puaskah hati anda melihat isu ini berlarutan? Kepentingan anda yang sementara akan membuatkan generasi mendatang akan menanggung buat jangka masa yang lama. Inikah yang anda perjuangkan selama ini?

Golongan mahasiswa/wi sekalian, kebebasan akademik itu sebenarnya masih belum wujud di UPSI mahupun di Malaysia. Sejujurnya, tiada siapa dari kita mahupun rakan-rakan di tempat lain yang faham apa itu kebebasan akademik. Hal ini kerana di Malaysia, kebebasan akademik sememangnya tidak wujud, dan ketidakwujudannya tidak pernah pula disedari. Mungkin apa yang terjadi pada Prof Dr Aziz Bari sedikit membuka ruang pemahaman terhadap kebebasan akademik. Bagaimana seorang profesor yang kapasitinya kukuh sebagai seorang pakar undang-undang dan perlembagaan dihukum kerana kenyataan yang sebenarnya jelas mengikut bidang ilmu dan kepakaran beliau? Nah tanya sahaja diri anda sebagai mahasiswa/wi sekalian. Adakah AUKU satu bentuk cabaran dan pengkhianatan terhadap kebebasan akademik? Jawabnya TIDAK! AUKU (15) bukan mengenai kebebasan akademik, sebaliknya hanya bentuk pencabulan terhadap hak kewarganegaraan. Ternyata berbeza dari kebebasan akademik.

Kebebasan akademik ibarat hantu. Sering disebut, sedikit tidak pernah ketemu, sehingga orang masih belum pasti, WUJUD ATAU TIDAK.

Sekian, 

LMP
# Kami Anak Muda.. Kami Cool
p/s: segala maklum balas atau info terkini mengenai anda atau kampus boleh disuarakan kepada kami LMP di email kami :
email: upsi.progresif@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...