Thursday 27 October 2011

Budaya Politik Kampus- LMP


Assalamualaikum wbt,
Telah menjadi suatu tradisi di setiap institut pendidikan dimana saban tahun akan diadakan pilihanraya kampus di seluruh negara. Program ini diibaratkan seperti highlight tahunan kerana ia merupakan suatu platfom bagi setiap mahasiswa/wi untuk memilih calon bagi menjaga kebajikan masing-masing. UPSI juga tidak ketinggalan daripada pilihanraya kampus ini.Mahasiswa/wi UPSI mengambil peluang pada pilihanraya kampus bagi memilih seorang ketua yang akan mereka undi bagi memudahkan suara-suara mereka didengari oleh pihak universiti

Meski begitu, sihatkah budaya politik kampus bagi setiap diri mahasiswa/wi terutamanya bagi skop UPSI? kebanyakkan mahasiswa/wi kelihatan lebih mengutamakan pelajaran daripada terlibat dari politik kampus ini. Wajarkah begitu? Majoriti mereka berpendapat bahawa jika mereka terlalu aktif dengan budaya politik kampus, tanggungjawab mereka kepada pelajaran akan tergugat seterusnya membuatkan mereka sukar untuk  posting apabila tamat pengajian di UPSI. Hal itu bagi mahasiswa/wi Program ISMP. Bagaimana pula bagi pelajar program diploma? Sebahagian daripada mereka juga cuba tidak terlibat dengan aktiviti kampus sebegini terutamanya Pilihanraya Kampus kerana bagi mereka hanya singgah sebentar di UPSI dan akan keluar sebagai pemegang sijil Diploma setelah tamat pengajian, kendatipun sebahagian besar aktiviti kampus hanya tertumpu kepada student ISMP daripada student Diploma. Justeru, sebahagian besar student Diploma tidak berminat dengan Pilihanraya Kampus kerana didalam minda mereka, mereka tidak layak untuk mengundi dan sekiranya mereka mengundi, calon pilihan mereka tidak akan mengambil kisah mengenai kebajikan dan masalah mereka. 

Jelaslah pemikiran sebegini harus dikikis dan setiap warga UPSI tidak kira mereka dari program Diploma, ISMP, Master atau PhD sekalipun. Pilihanraya Kampus jika dilihat pada skop positifnya, ia melatih warga kampus untuk lebih berani untuk memperjuangkan hak mereka. Dalam skop pendidikan, bukannya melatih minda mahasiswa/wi untuk memberontak, tetapi lebih berani untuk memperjuangkan hak mereka melalui saluran yang betul. Pilihanraya Kampus juga diihat dapat membentuk generasi mahasiswa/wi yang lebih prihatin mengenai masalah anak-anak buah mereka (tak dapat jumpa ayat yang lebih sesuai) serta keperluan kebajikan warga kampus sekiranya mereka terpilih menjadi MPP. Disamping itu, Pilihanraya Kampus juga dapat melahirkan golongan mahasiswa/wi UPSI yang lebih bertanggungjawab dan arif serta berdisiplin dalam mengatur masa didalam pelajaran, aktiviti kampus dan aktiviti kolej. 

Bagaimana pula dengan nilai negatif yang timbul daripada aktiviti Pilihanraya Kampus ini? Jelaslah bahawa perancangan kita sebagai insan tidak sesempurna perancangan Ilahi, justeru, didalam kebaikan tetap terselit keburukan didalam perancangan kita meski sebesar zarah sekalipun. Nilai negatif yang timbul kesan dari aktiviti Pilihanraya Kampus ini adalah ia dapat melahirkan sikap benci membenci antara parti-parti di kampus. Implikasi daripada sikap negatif ini mampu mengundang pelbagai masalah kepada diri pelajar dan universiti itu sendiri. Misalnya, sikap benci membenci yang tercetus dari ideologi berlainan dapat membuatkan suasana pembelajaran yang tidak kondusif seterusnya membawa kepada kejatuhkan universiti dengan keputusan peperiksaan yang mendukacitakan(lagi sekali takde ayat yang sesuai)..Selain itu, Pilihanraya Kampus juga mampu mengundang kepada kepincangan sahsiah pelajar seperti tercetusnya pergaduhan antara pelajar dan pelanggaran undang-undang serius oleh para pelajar yang mahu mencetuskan masalah di kampus.

Oleh itu, bagaimanakah permasalahan ini mampu diselesaikan seterusnya membentuk budaya politik kampus yang lebih aman dan harmoni? Ada pihak tertentu mengatakan bahawa minda pelajar mesti dihindari dari diwarnai dengan partisan politik luar. Pendapat individu LMP adalah tidak salah bagi minda pelajar diwarnai dengan partisan politik luar. Hal ini kerana ia dapat mematangkan minda pelajar agar lebih bersedia dan lebih bijak dalam mengawal kumpulan atau parti mereka. Pengetahuan mengenai parti politik luar dapat juga memberi pengajaran kepada para barisan kepimpinan agar lebih amanah dan jujur serta telus dalam mengotakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Disamping itu, antara langkah yang dapat membawa kepada pilihanraya kampus yang lebih kondusif adalah dengan mengelakkan diri pelajar dari memanipulasi media untuk kepentingan peribadi (menyokong pendapat pihak tertentu). Budaya seperti memfitnah parti atau kumpulan lain wajar dihindari selain membuka aib parti atau kumpulan lain yang ternyata salah satu kerja kotor pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengaburi mata mahasiswa/wi dengan kelemahan mereka dengan membuka aib atau mencetuskan fenomena buruk mengenai parti atau kumpulan pihak lawan. Kedua-dua belah pihak seharusnya lebih adil dan menghormati antara satu sama lain dan saling bantu membantu waima berlainan ideologi kerana universiti bukannya medan untuk mencemuh antara satu sama lain tetapi universiti adalah tempat bagi membentuk golongan intelek yang lebih arif dan bertanggungjawab seiring dengan fungsi mereka sebagai pemacu kemajuan negara pada masa akan datang.

Budaya politik kampus harus disambut baik oleh setiap warga kampus kerana ia mampu membawa kepada perubahan corak pendidikan universiti yang lebih kondusif dan efektif dalam mendidik mahasiswa/wi supaya menjadi insan yang mempunyai sifat bertanggungjawab disamping arif dalam bidang masing-masing. Setiap mahasiswa/wi juga tidak memandang serong kepada kumpulan atau parti lain yang memperjuangkan sesuatu ideologi baru. Hal ini kerana, mungkin ideologi itu nampak taboo tetapi ia mungkin membawa kepada kemajuan universiti. Justeru, persaingan yang lebih sihat harus ada ketika pilihanraya kampus. Budaya politik kampus yang aman serta bersih dari segala anasir negatif harus dihindari agar tidak menjejaskan keperibadian kumpulan atau parti di kampus. 

Sekian,

LMP

# Kami Anak Muda.. Kami Cool


p/s: segala maklum balas atau info terkini mengenai anda atau kampus boleh disuarakan kepada kami LMP di email kami :


email: upsi.progresif@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...