Friday 6 April 2012

LMP: Mahasiswa Menolak Keganasan

Assalamualaikum,
Hanya kerana seorang anak muda yang berani membela nasib masyarakat daripada majoriti yang beku dan kaku daripada isu semasa, Adam Adli (Coordinator LMP) telah ditumbuk oleh samseng-samseng yang tidak takutkan polis. Mereka memandang rendah kuasa polis yang berada hanya untuk melampias nafsu amarah.

Untuk lebih maklumat:
-kami rasa apa yang mereka rasa-
-mahasiswa menolak keganasan-

Tuesday 28 February 2012

Asal Bukan ASPIRASI



Report Solidariti Untuk Syria



Assalamualaikum,

       Pada malam 25/02/12 yang lalu, atas nama solidariti anak muda terhadap isu semasa, jentera LMP serta Mahasiswa Pendidik (MP) telah bersepakat berganding bahu dalam mengedarkan risalah mengenai isu pergolakan yang sedang dialami oleh rakan-rakan sebaya di Syria. Sebelum bermulanya aktiviti yang dirancangkan, satu sesi bacaan doa telah dilakukan dengan dibimbing oleh saudara Kashfi dari MP. Sesi pengedaran risalah dimulakan sebaik selesainya solat Isyak secara berjemaah di surau KHAR. Bagi yang tidak mengetahui, pada tarikh yang sama, di KHAR turut berlangsung Karnival Anti Dadah. Jadi dengan berlangsungnya karnival ini, maka sesi pengedaran risalah turut berjalan dengan lancar. Hinggakan terjadi peristiwa menarik di mana risalah yang diedarkan tidak mencukupi sehingga ada ahli LMP yang perlu berulang alik ke kedai untuk membuat salinan yang lebih.
                          
                                                                       Risalah LMP

        Risalah bagi LMP mengandungi maklumat tentang siapakah Basyar Assad dan keganasan yang telah dilakukannya.Selain daripada risalah yang diedarkan oleh pihak LMP, MP turut mempunyai risalah mereka sendiri. Namun, kedua-dua risalah LMP dan MP mempunyai satu misi supaya isu Syria ini dapat diketahui ramai. Antara lokasi yang menjadi sasaran edaran risalah itu ialah di sekitar pentas utama, gerai-gerai dan sekitar KHAR. Sasaran utama pula ialah kepada mahasiswa/wi  UPSI serta orang ramai serta peniaga-peniaga gerai.

Mengapa Syria?

Kami di LMP, berpendapat isu ini penting diperjuangkan dan disebarkan kerana:

1) Media arus perdana tidak begitu memberikan perhatian terhadap isu ini.
2) Perlunya kami menonjolkan tentang krisis yang terjadi atas dasar perkongsian ilmu. Harapan kami, dengan pendedahan kami ini, akan terdapat golongan mahasiswa yang mula menilai dan menganalisis sesuatu isu dengan teliti.
3) Kami turut bersama dengan isu ini atas dasar kemanusiaan dan hak asasi kerana terdapatnya pencabulan dan keganasan terhadap rakyat Syria itu sendiri.

Secara keseluruhannya, LMP berpendapat bahawa aktiviti pada malam itu telah berjaya dengan jayanya. Mengapa? Ini kerana terdapatnya maklum balas daripada pengunjung yang mendapat risalah-risalah itu yang menanyakan mengenai isu Syria dan info-info lanjut mengenai risalah itu sendiri. Meskipun ini mungkin dianggap kecil, namun berpegang kepada prinsip "bermula kecil kepada besar", maka perkara kecil ini lebih baik dari tidak berbuat langsung. Ini juga untuk membuktikan bahawa LMP beraktiviti bukan dengan sekadar tunjuk perasaan atau protes, malahan melalui aktiviti ilmiah dan berinformatif juga dilakukan oleh LMP itu sendiri. Di samping itu, ini juga untuk menunjukkan solidariti antara MP dan LMP yang difitnah telah bertelagah selama ini.

Kami di LMP berharap anda semua akan lebih mendalami isu Syria ini dan isu-isu semasa dengan lebih kritis dan berinformatif. Untuk lebih maklumat mengenai Syria itu sendiri, sila layari  LMPsitewalk


LMP
# Kami Anak Muda.. Kami Cool

Teruskan bersama MP dan LMP di:
https://www.facebook.com/lmp.upsi
https://www.facebook.com/pages/Kami-Sokong-Mahasiswa-Pendidik/

Thursday 12 January 2012

AKTIVITI COOL MALAM 13 JAN 2012





Assalamualaikum
Dah habis exam tapi still kat Tg Malim? Korang blur malam esok? Tak balik kampung lepas tu foreveralone kat Tg Malim? Mai aku cerita sikit program cool malam esok!





Crew LMP akan konvoi dari Tg Malim sampai KLSCAH esok. Bagi sesiapa yang berminat nak join boleh la terus contact orang kuat LMP (korang pun dah tahu sapa, tak perlu ulas)


Sekian, 


LMP
# Kami Anak Muda.. Kami Cool
p/s: segala maklum balas atau info terkini mengenai anda atau kampus boleh disuarakan kepada kami LMP di email kami :
facebook : http://www.facebook.com/lmp.upsi
twitter: https://twitter.com/#!/LmpUpsi
email: upsi.progresif@gmail.com

Adam Adli: mengapa saya pilih jalan raya

Assalamualaikum
Dipetik daripada MerdekaReview 


Apabila saya dihubungi editorial MerdekaReview untuk menjadi kolumnis jemputan, saya seakan tidak percaya; kerana lebih kurang 10 minit sebelum dihubungi oleh pihak editorial, saya baru sahaja menyatakan hasrat saya untuk menulis di akhbar dan portal agar segala pandangan dan buah fikiran saya dapat dinilai seadilnya.  Bukan sekadar di medium Twitter atau Facebook.  Tidak lama kemudian, saya mula termenung; apa harus saya tulis?  


Saya pernah terbaca pesanan seorang penggiat sastera yang mengatakan "pertama, kita harus tulis apa yang orang mahu, kemudian barulah kita tulis apa yang kita mahu,".  Saya cuba untuk menuruti pesanan beliau.  Puas saya fikirkan, akhirnya saya buat keputusan.  Reaksi kepada soalan-soalan yang sering diajukan kepada saya, saya fikir, ramai yang ingin tahu dan baca; mengapa saya pilih jalan raya.




Tahun 1997 dan 1998 tentu sekali tahun penting dalam lipatan sejarah Negara kita kerana pada tahun itulah kita menyaksikan mobilisasi manusia yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam sejarah moden tanah air.  Dari situ saya mengenali jalan raya sebagai medium sebenar menyampaikan suara dan isi hati rakyat yang setiap satunya mungkin tidak pernah pun merasai sejuk hawa dingin bangunan Parlimen mahupun Putrajaya.  


Saya masih ingat, ayah saya juga antara demonstran tegar ketika itu.  Setiap pagi Sabtu beliau pasti akan turun ke kota.  Dengan hanya berkemeja-t dan berseluar jeans, dengan motosikal buruknya beliau akan ke sana.  Pernah saya mohon untuk bersama, tapi dihalang beliau.  Katanya bahaya.

Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, saya mula kenal jalan raya.  Bermula dengan demonstrasi menuntut hak air rakyat Selangor, segala persoalan mengapa ayah saya turun ke tengah kota hampir setiap minggu sepuluh tahun lalu terjawab. 


Di tengah-tengah keringat ribuan manusia, saya seorang diri asalnya.  Saya tidak kenal langsung siapa yang berada di situ.  Usai demonstrasi tersebutlah baru saya kenal beberapa rakan baru yang kini bersama dalam satu barisan bernama Solidariti Mahasiswa Malaysia.  

Saya masih ingat, ketika itu, berdepan dengan trak FRU, sebagai "first timer", logiknya pasti saya memilih barisan paling ke belakang sekali.  Namun entah dari mana saya dapat keberanian untuk menjadi benteng hadapan.  Sekali lagi diulangi, saya hadir seorang diri tanpa rakan yang dikenali.  Namun aneh, saya tidak pula rasa keseorangan.  Dengan bergandingan bahu bersama beberapa anak muda mahasiswa yang lain, kami berdepan dengan tembakan water-cannon.  Kami tidak berganjak dari tempat kami.  Sehingga akhirnya diserang oleh anggota keselamatan barulah kami mula mangambil langkah berundur.  Itu antara kenangan yang masih saya simpan.


Sejak dari itu, saya sering kemaskini diri saya dengan berita-berita mengenai himpunan dan protes jalanan.  Protes jalanan bagi saya sudah menjadi pentas mulia, dan juga cara yang mulia untuk memurnikan jalan raya.  

Akhirnya, jalan raya "disalahgunakan" dengan sebab yang baik, berbanding "disalahguna" dengan tujuan lumba haram, meragut, merompak dan sebagainya.  Saya tidak faham dengan orang yang menentang orang yang memartabatkan jalan raya sebagai wadah ekspresi suara sebenar rakyat.





Maka kita datang ke persoalan sebenar; mengapa jalan raya?  Tenang rakan-rakan.  Jika dikupas satu persatu risalah sejarah, kita akan akhirnya bertemu dengan catatan-catatan mengenai kuasa jalan raya.  

Dari kurun ke 16 hingga ke Occupy, kita faham bahawa jalan raya telah banyak berjasa kepada rakyat berbanding parlimen!  Tidak hairanlah Guy Fawkes suatu masa dahulu pernah ingin meletupkan bangunan Parlimen!  Saya sering tekankan kepada rakan-rakan; parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari.  Maka jalan raya adalah ruangnya.  Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!


Kempen BEBAS yang menuntut kebebasan akademik misalnya, sering dirujuk sebagai anarki jalan raya yang tidak bertamadun dan hanya untuk membuat kacau.  Di sini kita lihat, dan dibuktikan; bahawa hanya bila kempen ini digerakkan di jalan raya baru masyarakat dan pak-pak menteri mahu mengambil tahu tentang kempen ini.  

Mereka ini pasti tidak tahu bahawa sepanjang setahun kempen BEBAS digerakkan sejak awal 2011, sudah belasan gerak kerja dijalankan; dari siri debat, forum, wacana, pidato awam, termasuklah sidang-sidang video dan proses surat-menyurat.  Siapa yang mahu dengar?  Tiada siapa pun.  Walau antara yang pernah dijemput hadir ke program kami itu termasuk nama-nama besar seperti Anwar Ibrahim, Saifuddin Abdullah, Hisham Rais, Fahmi Reza, dan Aziz Bari, ia tidak mampu mencuri perhatian orang ramai.  

Realitinya, masyarakat kita adalah masyarakat yang paginya dihidang dengan akhbar tabloid.  Kisah-kisah sensasi sahaja yang mampu mencuri tumpuan masyarakat.  Dan protes jalanan adalah salah satu dari sensasi yang gemar dibincangkan di kedai kopi.




Saya menemui jawapan terhadap mengapa harus turun ke jalan raya apabila saya sendiri turun ke jalan raya.


Andai kata tiada protes jalanan, mahukah semua pihak; kerajaan, pembangkang, media, akademia,imam surau, tok siak, sami, paderi, nelayan, petani, buruh, tukang masak, suri rumah, malah pelajar sendiri ambil perhatian terhadap isu-isu yang dibawa?  

Tidak kiralah samada BEBAS, BERSIH, GMA, PPSMI, ISA, Anti-Lynas, HIMPUN,OccupyDataran dan sebagainya.  Demonstrasi, protes, himpunan, dan jalan raya kini terbukti sebagai medium terbaik dalam menyampai suara dan keringat masyarakat.  

Pada yang masih memandang jalan raya sebagai cara tidak bertamadun dan merosakkan ketenteraman awam, anda perlu muhasabah diri.  Tanya kepada diri anda, adakah suara anda yang mengutuk demonstran ini didengari?  Jika tidak, apa yang anda mahu buat?  Mungkin anda harus cuba turun ke jalan raya juga.



*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).






Sekian, 


LMP
# Kami Anak Muda.. Kami Cool
p/s: segala maklum balas atau info terkini mengenai anda atau kampus boleh disuarakan kepada kami LMP di email kami :
facebook : http://www.facebook.com/lmp.upsi
twitter: https://twitter.com/#!/LmpUpsi
email: upsi.progresif@gmail.com

Kelewatan interview posting ISMP: LMP dedah isu sebenar hasil mesyuarat



Untuk Hebahan,kongsi note ini dengan semua!

1001=10/01 

Pada tarikh tersebut wakil GGIM telah diTIPU oleh pihak KPM. Kenapa ya? Kenapa senior-senior kita graduan 2011 mengalami kelewatan posting? Kenapa telah beberapa kali senior-senior kita tertipu dengan maklumat yg diberikan daripada pegawai KPM? Kenapa tidak KPM jelaskan isu ini daripada awal lagi selepas mereka mengadakan pertemuan kali pertama dengan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM)? Adakah kita pernah terfikir perkara yg sama akan berulang kepada kita pula? 

Ini pandangan dari seorang graduan yang terlibat bersama memperjuangkan isu posting:

Pada saya kelewatan penempatan kami berpunca daripada persoalan utama iaitu ke mana dana yang diperuntukan dalam Belanjawan 2012 bagi membiayai gaji guru-guru baru hilang? Seorang pegawai KPM yang terlibat dalam bahagian penempatan mengatakan secara rahsia kepada saya bahawa dana tersebut digunakan untuk Kempen BN pd PRU-13..Buktinya habuan one-off rm100 kepada setiap orang pelajar dalam Belanjawan 2012.


Mengikut perkiraan dan anggaran mudah jumlah pelajar sekolah rendah+menengah = 5,187,767 

Jadi darabkan 
RM100 x 5,187,767 = RM 518,776,700 (RM518 juta)

Bandingkan dengan gaji guru baru; anggaran kos RM2500 seorang...
RM2500 x 5000 graduan x 8 bulan kelewatan posting = RM 100,00,000 (RM 100 juta)

Jadi sebahagian RM518 juta, iaitu RM100 juta yg diperuntukan untuk kami telah disalurkan ke Kempen BN dlm PRU-13!


Terpulanglah pada pendapat dan analisa masing-masing. Pada saya setelah mengadakan pertemuan dengan KPPM, ternyata KPPM memungkiri janjinya ditambah dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara jelas mengarah graduan mencari kerja lain dahulu. Baru-baru ini pada 10/01 KPM sekali lagi telah memungkiri janjinya dengan tidak mengeluarkan senarai nama graduan pendidikan yang bakal ditemuduga


Apa pandangan anda??? Mahasiswa bukan PAK TURUT, bukan PEMINTA SEDEKAH KERJA, bukan juga BUDAK TADIKA yang boleh diperMAINkan. Adakah kita hanya mahu menunggu sehingga ISU yg SAMA berulang kembali kpd kita???


Sekian, 


LMP
# Kami Anak Muda.. Kami Cool
p/s: segala maklum balas atau info terkini mengenai anda atau kampus boleh disuarakan kepada kami LMP di email kami :
facebook : http://www.facebook.com/lmp.upsi
twitter: https://twitter.com/#!/LmpUpsi
email: upsi.progresif@gmail.com

Sunday 4 December 2011

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)



Assalamualaikum,
Setelah sekian lama menyepi, hari ini LMP ingin memberi sedikit info kepada mahasiswa/wi khususnya mahasiswa/wi UPSI akan GERAKAN MENUNTUT KEBEBASAN AKADEMIK (BEBAS).

Pendahuluan.
Kebebasan berakademik adalah hak kebebasan yang diperuntukkan bagi setiap ahli akademik bagi mengemukakan pandangan dengan apa jua ekspresi sesuai dengan standard profesionalisme yang dimiliki (Donald A. Downs, 2009). Hal ini lahir daripada tanggungjawab ahli akademik untuk bercakap dan mencabar idea konvensional dalam usaha memaknakan universiti sebagai model medan perdebatan terbuka kepada masyarakat umum.

Bertitik tolak daripada konotasi ini, kebebasan berakademik adalah terpakai bagi seluruh warga universiti termasuk mahasiswa, para pensyarah malah pihak universiti sendiri. Hak kebebasan berakademik ini boleh dilindungi sepenuhnya oleh demokrasi liberal dengan meletakkan manusia boleh mendapatkan kebenaran dan ilmu tanpa batas. Hak ini juga selari dengan ruang hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan negara dan dijamin sepenuhnya oleh hak asasi manusia sebagaimana berikut:

  1. Every citizen has the right to freedom of speech and expression;
  2. All citizens have the right to assemble peacebly and without arms;
  3. All citizens have the right to form associations.
Tuntutan BEBAS

  1. Mansuhkan AUKU dan Akta 174
BEBAS berpendirian bahawa AUKU dan Akta 174 perlu dimansuhkan berdasarkan dua teras berikut:
  • Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.
  • Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 yang mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa.
 
   2.  Bebaskan Ilmuan Berakademik

BEBAS menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan dalam perkara-perkara berikut:

  • Para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
  • Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
  • Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan.
   
 3. Bebaskan Mahasiswa Bersuara

BEBAS menuntut mahasiswa diberi kebebasan bersuara dalam kerangka berikut:
  • Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
  • Mahasiswa mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
  • Mahasiswa bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.

     4. Bebaskan Mahasiswa Mengurus Pilihanraya Kampus.


BEBAS menuntut supaya:


  • Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.
  • Proses pemilihan pelajar ini dijalankan tanpa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak sama ada dari sudut sistem, teknikaliti, kempen, pembuangan undi, pencalonan dan lain-lain elemen dalam proses pemilihan yang hanya melibatkan mahasiswa.

      5. Bebaskan Mahasiswa Mengurus Tadbir Persatuan Dan Aktiviti.

BEBAS menuntut supaya: 
  • Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menguruskan tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri.
  • Urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pentadbiran universiti.
  • Hal ini merangkumi segala bentuk pentadbiran persatuan dan aktiviti, kewangan dan perbelanjaan, dana dan tajaan, pengisian dan aktiviti, penerbitan dan publisiti serta apa jua elemen-elemen di dalam urus tadbir persatuan.

     6. Bebaskan Mahasiswa Berpartipasi Dalam Politik.

BEBAS menuntut mahasiswa diberikan kebebasan berpartipasi dalam politik sebagaimana berikut:

  • Melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.
  • Mahasiswa bebas mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentangkan dan dikeluarkan unutuk tatapan umum dan kerajaan.
  • Mahasiswa bebas menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.
  • Mahasiswa bebas menjalankan dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.
Penghargaan kepada:
Muhammad Safwan B. Anang @ Talib.
Pengerusi
GERAKAN MENUNTUT KEBEBASAN AKADEMIK
(BEBAS)


Sekian,


LMP
# Kami Anak Muda.. Kami Cool
p/s: segala maklum balas atau info terkini mengenai anda atau kampus boleh disuarakan kepada kami LMP di email kami :
facebook : http://www.facebook.com/lmp.upsi
twitter: https://twitter.com/#!/LmpUpsi
email: upsi.progresif@gmail.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...